Monday, October 20, 2008

HUKUM UNDANG-UNDANG ISLAM

Hukum mewarnakan rambut perlu dilihat dari pelbagai aspek, seperti tujuan mewarna, jenis-jenis warna dan pihak-pihak yang terlibat dengan kegiatan mewarna serta kesannya kepada diri, keluarga dan masyarakat.Sehubungan ini ada sebuah hadis berkaitan dengan penjagaan rambut yang diriwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda yang membawa maksud: Sesiapa yang menyimpan rambut hendaklah ia mengemaskannya. (Miskat, 2/491). Mengemaskan rambut ertinya tidak membiarkannya kusut masai, tidak terurus, berterbangan apabila ditiup angin atau dibiar menjadi sarang tempat kutu membiak dan sebagainya.Sebaliknya, rambut hendaklah dibersihkan setiap hari, diikat dan disapu minyak, supaya kelihatan sentiasa berseri. Bagi wanita pula hendaklah didandan atau diikat kemas, diwarnakannya jika sudah beruban dan tidak lagi diminati suaminya, tetapi hendaknya tidak dipamer kepada lelaki bukan mahramnya. Bagi wanita yang sudah lanjut usia dan tidak bersuami, tidak perlu lagi berbuat demikian, kerana tiada motif sebenar daripada pewarnaan rambutnya.Sebahagian ulama melarang perbuatan mewarnakan rambut secara mutlak, seolah-olah warna rambut tidak boleh diubah daripada warna asalnya, namun sejauh yang diperhatikan, dalil-dalil yang dikemukakan bagi pengharaman itu tidak lengkap, atau larangan itu hanya kepada lelaki sahaja, sedangkan wanita dikecualikan, atau larangan dikhaskan kepada wanita tua yang mewarnakan rambutnya, supaya kelihatan muda dan bergaya, lalu diminati lelaki yang tertipu dengan rambut kepala yang kononnya masih hitam.
Bagaimanapun, ulama sepakat berpendapat, mewarnakan rambut itu tidak wajib, ia hanya sunat sahaja. Sahabat-sahabat nabi yang arif tentang sunah seperti Ali ibn Abu Talib, Ubayy ibn Ka'b dan Anas ibn Malik tidak mewarnakan rambut mereka.

Melihat kenyataan yang ada dalam masyarakat Islam hari ini, kalangan muda mudi Islam ada yang mewarnakan rambut mereka dengan warna perang, kerana meniru atau terpengaruh dengan orang Barat yang perang warna rambutnya. Sebahagiannya pula mewarna-warnikan rambut, kerana mengamalkan budaya punk kononnya. Fenomena ini tidak wujud pada zaman awal Islam, terutama ketika orang Barat belum dianggap sebagai bangsa yang maju di dunia.Hukum Islam jelas dalam hal ini, iaitu melarang umatnya meniru dan menyerupai budaya dan cara hidup orang kafir. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Dawud, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesiapa menyerupai sesuatu kaum, maka ia tergolong dalam kumpulan mereka. Tidak syak lagi, meniru budaya asing secara membuta tuli, tanpa memikirkan faedahnya, adalah suatu amalan yang salah dan membuktikan pendewaannya kepada bangsa yang dicontohinya.

2 comments:

humaira' said...

salam..isu yang saudari bincangkan sememangnya sangat penting untuk diketahui khasnya para remaja, generasi muda hari ini. Remaja kini ramai yang tidak mengetahui hum mewarnakan rambut ini.Jika ada yang tahu hanyalah sedikit sahaja. Menjadi tugas kita sebagai Da'ie untuk menerangkan dan menjelaskan kepada generasi Islam kini tentang hukum-hukum sebegini. Wallahu a'lam

Salwaasdaie said...

salam ukhwah fillah...
saya tertarik dengan isu ini.kebanyakkan remaja kita pada zaman ini terikut dengan budaya-budaya barat.mereka tidak punya ilmu tentang hukum-hukum daripada perbuatan mereka itu.amat rugilah bagi kita umat Islam jika tidak dapat membantu saudara seagama menuju ke jalan yang diredhai Allah.