Sunday, October 19, 2008

Islam dan kebersihan.


Kebersihan merupakan suatu ajaran yang fundamental, yang paling asas dalam Islam. Tidak keterlaluan jika dikatakan ajaran Islam berpaksikan kepada kebersihan, sama ada kebersihan zahir mahupun batin. Kebersihan ialah syarat mutlak kepada sahnya solat yang dikerjakan. Sebelum dan sepanjang masa melakukan solat kita di kehendaki mengekalkan keadaan bersih dan suci pada tempat kita melakukan solat, pada diri kita dan pada pakaian yang kita pakai semasa melakukan solat. Sebelum melakukan solat umat Islam dikehendaki membasuh dan membersihkan beberapa anggota badan tertentu melalui kewajipan berwuduk. Selain itu, menyentuh mashaf al-Quran juga wajib berwuduk. Ini kerana tanpa wuduk adalah haram dan dianggap kurang suci atau dalam istilah fiqh disebut sebagai berhadas kecil.

Pemberatan Islam kepada kebersihan juga jelas tergambar melalui beberapa anjuran yang berbentuk sunat. Sebagai contoh dikemukakan beberapa bentuk amalan sunat iaitu bersugi setiap kali mendirikan solat. Ini bertujuan untuk menghilangkan sisa-sisa makanan yang terlekat dicelahan gigi kerana ia boleh menyebabkan terbatal solat jika kita menelannya semasa kita solat. Selain itu, kita di sunatkan memotong kuku. Ini kerana jika kuku kita panjang maka akan terkumpul najis dan kuman dibawahnya. Ini akan mengakibatkan segala makanan yang masuk ke dalam usus adalah kotor dan menyebabkan kita sakit. Ternyata suruhan memotong kuku mempunyai nilai kebersihan yang tinggi, bukan semata-mata untuk memudahkan air merata semasa berwuduk. Jadi, sebagai umat Islam perlu mengamalkan kebersihan dalam rumah dan kehidupan kita kerana selain menjadikan kita lebih sihat, selesa dan sejahtera kita juga akan mendapat pahala dari Allah kerana melaksanakan ajaran daripada Rasulullah s.a.w.

1 comment:

ummah bestari said...

Islam adalah agama yang suci dan bersih, sebab itulah Islam menyuruh umatnya menjaga kebersihan samada kebersihan rohani atau jasmani, ini kerana jika kedua-duanya bersih maka iman semakin meningkat, segala amal ibadah dapat dilaksanakan dengan aman dan mudah...